Mufti popular dari sebuah Kerajaan Negeri bebarapa hari lalu bercakap melalui Radio Perak berkaitan mengundi yang dikatakannya sebagai tidak ada kena mengena dengan syurga dan neraka. Kalau kita perincikan kenyataan tersebut seolah-olah pemilihan pemimpin yang memimpin sesuah kerajaan tidak terkandung di dalam agama Islam yang serba lengkap. Persoalan syurga dan neraka berhubungkait dengan dosa dan pahala. Saya yang jahil dengan agama ini terkeliru tetapi mampu berfikir apakah motif kenyataan sebegini keluar dari mulut seorang pakar rujuk agama sesebuah kerajaan negeri di tengah-tengah kehangatan tempoh berkempen yang masih berbaki di 3 lokasi yang berlainan.
Katanya lagi, "jangan peralatkan agama untuk meraih undi". Tuan, saya bukan hendak mengajar tuan berkaitan agama. Tuan yang lebih arif. Akan tetapi, pemimpin di dalam sesebuah institusi kepimpinan yang paling cemerlang di atas muka bumi ini adalah di zaman kebangkitan Islam yang dipelopori oleh nabi tercinta Muhammad s.a.w. Baginda adalah penyebar agama yang benar ini ke seluruh pelusuk alam melalui khalifah-khalifah yang diutus sebagai 'duta' di sesebuah negara yang di bawah kekuasaan Islam pada zaman tersebut. Apakah itu tiada kaitan dengan agama?
Seterusnya, beliau menegaskan bahawa, "jangan memperalatkan ayat al-Quran demi kepentingan politik yang mana ada sesetengah parti politik amalkan selama ini". Saya ulas lagi tuan, al-Quran ini diturunkan untuk seluruh manusia dan sesuai untuk diamalkan oleh manusia. al-Quran ini bukannya turun untuk bangsa-bangsa tertentu sahaja. Pemimpin yang beramal dengan al-Quran ini hatta dalam urusan kepimpinan adalah satu ciri pemimpin yang terbaik. Dengan setiap ayat yang dibacakan dan dikaitkan dengan situasi manusia pada masa kini, maka dapatlah kita melihat diri kita dan menyesuaikan diri kita dengan kehendak al-Quran. Bukannya menyesuaikan al-Quran dengan kehendak kita. Dua situasi yang berbeza. Kita jangan keliru.
Katanya lagi, " Manusia tak boleh menghukum siapa yang masuk syurga dan masuk neraka. Yang berhak menghukum hanyalah Allah". Ya betul... Semua umat Islam tahu perkara ini. Kita tidak boleh menghukum, tetapi kita kena tahu ciri-ciri orang yang layak menghuni syurga dan ciri-ciri penghuni neraka jahannam itu. Yang kita pilih menjadi pemimpin adalah MANUSIA. Maka, satu kewajipan kepada manusia yang lain untuk memilih yang bercirikan ahli syurga atau yang bercirikan ahli neraka.
Persoalan mungkin timbul bagi yang berfikir singkat. Kalau pemimpin yang dipilih itu bukan Islam, bagaimana? Baiklah. Kita lihat daripada perjuangan yang diwakili oleh pemimpin tersebut sama ada yang bercirikan Islam atau sebaliknya. Di dalam dunia yang serba komplek ini, kita kena ada kerjasama dengan orang belum Islam untuk menuju kepada terbinanya empayar Islam yang begitu gah satu ketika dahulu. Malah Rasullullah s.a.w sendiri ada jalinan baik dengan orang kafir pada ketika itu dalam beberapa urusan yang penting. Dalam sabdanya, baginda dengan tegas memberi amaran bahawa, "sesiapa yang menyakiti zimmi,sesungguhnya ia menyakitiku, sesiapa yang menyakitiku sesungguhnya ia menyakiti Allah". Untuk peringatan, kafir ini terdiri daripada dua golongan iaitu kafir zimmi dan kafir harbi. Kafir zimmi ini adalah kafir yang tidak memerangi Islam dan akur dengan pemerintahan Islam, contohnya Abu Talib iaitu bapa saudara nabi sendiri. Manakala kafir harbi adalah kafir yang memerangi Islam, contohnya Abu Jahal dan Abu Lahab, dan kita dilarang untuk berhubung dengan mereka, malah diizin untuk memerangi mereka sama ada dengan tangan , lidah , hati ataupun dengan memutuskan sebarang kegiatan berjual beli dengan mereka.
Begitulah kedudukannya. Hidup di dunia pinjaman ini ada batasannya iaitu dikategorikan sebagai yang boleh dan tidak boleh. Yang boleh itu diberi pahala, dan yang tidak boleh itu diberi dosa. Siapa yang tentukan dosa dan pahala itu? Sudah pastilah Allah. Jangan sampai kita menjadi orang yang beragama, hanya untuk mengaut keuntungan dunia yang sementara, kita sanggup membuat sesuatu yang membawa sesalan yang tidak berkesudahan di akhirat kelak.
Jangan kita terperangkap dengan sepak terajang 'orang politik' yang 'tidak bertanggungjawab'. Sama ada kita terpedaya atau kita dipergunakan, setiap kata yang terungkap bakal memberi kesan yang mendalam. Setiap kenyataan yang dikeluarkan pasti memberi kesan tersendiri sama ada kecil mahupun besar.
Ulasan isu oleh: saudarabaharu.blogspot.com/
0 ulasan:
Post a Comment