.

harap-harap kaye la aku

Sunday, July 31, 2011

Indahnya Ramadhan Al-Mubarak, fiqah ringkas puasa

Oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Kipli bin Haji Yassin


SELAMAT DATANG RAMADHAN!


Ramadhan datang lagi, Alhamdulillah syukur tidak terhingga ke hadrat Allah SWT kerana kami dapat bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun ini.

Ramadhan! Sesungguhnya hadirmu dirindui dan dinanti-nanti oleh orang-orang yang beriman dan pergimu akan ditangisi oleh mereka. Hadirmu membawa makna, sarat dengan kemuliaan dan keistimewaan. Kalau kami mengerti dengan kelebihanmu nescaya kami tidak mahu berpisah denganmu.

Hadirmu dengan keberkatan, kedamaian dan ketenangan. Memasuki gerbangmu kami dapat merasai perubahan pada diri yang menyaksikan dengan rasa keimanan.

Walaupun namamu gambaran kepada suasana yang panas dan kering ketika kami berpuasa namun dek kerana ibadah ini ditunaikan dengan iman dan taqwa kami semakin terpacu untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang telah ditaklifkan Allah SWT kepada kami. Ya Allah! Keagungan dan KebesaranMu adalah segala-galanya bagi kami yang bergelar hambaMu. Syukur yang tiada taranya dari kami kerana dipertemukan dengan Ramadhan bulan kemuliaan.

KEFARDHUAN PUASA

Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa".

(al- Baqarah: 183)

Ayat ini menunjukkan bahawa Puasa itu adalah wajib dan ia adalah salah satu daripada RUKUN ISLAM.

PENGERTIAN PUASA

Bahasa - Menahan diri daripada sesuatu

Istilah – Menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari yang disertakan dengan niat.

PUASA YANG SEMPURNA

Menurut definisi puasa, jika kita menahan diri daripada perkara membatalkannnya maka kita dikira berpuasa dan dari segi hukumnya puasa kita adalah sah.

Namun perlu diingat bahawa bagi mencapai kesempurnaan puasa bukan sekadar kita memelihara hukum sah dan batalnya sahaja malah seluruh perkara yang berkaitan dengannya perlu dipelihara.


Renung-renungkan Hadith Rasulullah SAW, maksudnya:

“Berapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu dari puasanya selain LAPAR dan DAHAGA”

(HR Ibn Majah & Nasaie)

AWAS! PELIHARALAH KESEMPURNAAN PUASA ANDA!

Antara perkara yang mesti diambil perhatian:

  • Mata berpuasa daripada melihat sesuatu yang mungkar dan menimbulkan dosa
  • Telinga hanya mendengar yang baik-baik sahaja
  • Lidah hanya melafazkan perkataan yang membawa kebaikan elakkan daripada mengeji, menghina, mengumpat, berbohong, bersaksi palsu, mencarut, menyumpah dan pelbagai dosa lidah yang lain.
  • Hati disucikan daripada sebarang bentuk penyakit hati seperti riya’, dendam, iri hati, benci sebaliknya hiasilah hati dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, tawadhu’, sabar, cintakan kebaikan dan sebagainya.
  • Tangan hanya untuk menyentuh perkara yang halal sahaja.
  • Pastikan langkah kaki hanya menuju destinasi yang baik dan halal.

PUASA MESTI DENGAN NIAT

Puasa fardhu ini perlu dimulai dengan niat pada sebelah malamnya atau sebelum tamat waktu Imsak.

Niat puasa adalah seperti berikut:

Sahaja aku berpuasa esok hari untuk menunaikan fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Taala.

TIPS:

  1. Bagi yang solat tarawih di masjid, Imam biasanya akan berniat puasa sebelum bersurai. Jika kita turut serta berniat ia adalah memadai dan tidak perlu mengulangi lagi niat ketika bersahur.
  2. Ibubapa melatih anak-anak berniat bersama-sama sebelum tidur supaya tidak terlupa di samping dapat mewujudkan rasa kekitaan dan seronok dalam beribadah.

SIAPA YANG WAJIB BERPUASA

  • Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Bebas daripada uzur syarie*

*Uzur syarie yang menegah daripada puasa ialah:

  • Haid
  • Nifas
  • Pitam sepanjang hari

*Uzur syarie yang mengharuskan berbuka puasa ialah:

  • Sakit yang boleh memudharatkan jika berpuasa
  • Bermusafir melebihi dua marhalah
  • Tidak mampu berpuasa disebabkan sakit tua atau penyakit yang tiada harapan untuk sembuh.

PUASA ANDA AKAN TERBATAL

Jika berlaku salah satu sahaja perkara berikut maka puasa anda akan terbatal:

  • Makan dan minum

Makan dan minum dengan sengaja ketika sedang berpuasa walaupun sedikit akan membatalkan puasa. Justeru, sebelum sampai waktu imsak, makan dan minumlah yakni bersahurlah. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)".

(al- Baqarah: 187)

  • Sekiranya seseorang itu makan secara tidak sengaja misalnya terlupa bahawa dia sedang berpuasa maka tidak batal puasanya, ketika dia ingat bahawa dia berpuasa hendaklah berhenti makan atau minum serta merta.
  • Keluar haid dan nifas

Wanita yang dalam keadaan haid dan nifas memang tidak boleh berpuasa. Jika dia sedang berpuasa dan darah haid beliau keluar sebelum sampai waktu berbuka maka batal puasanya dan perlu diqada’kan.

  • Muntah dengan sengaja

Muntah dengan sengaja dengan apa cara sekalipun akan membatalkan puasa dan jika muntah itu datang sendiri tidak disengajakan maka ia tidak membatalkan puasa. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Sesiapa yang muntah secara tidak sengaja maka tidak ada qada baginya dan sesiapa sengaja muntah hendaklah ia mengqadakan puasanya.”

(HR Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Hibban)

  • Berjimak pada siang hari

Berjimak pada siang hari ketika berpuasa dalam bulan Ramadan akan membatalkan puasa. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”

(al-Baqarah: 187)

  • Pengsan
  • Melahirkan anak
  • Mengeluarkan air mani dengan sengaja
  • Gila
  • Memasukkan sesuatu ke dalam rongga. (Termasuk dalam kategori rongga ialah; mulut, hidung, telinga, dubur dan kemaluan)
  • Murtad

PERKARA MAKRUH ELOK DITINGGALKAN

  • Berkumur berlebihan
  • Merasa makanan dengan lidah
  • Tidur sepanjang hari
  • Menggosok gigi selepas gelincir matahari
  • Mandi terlalu kerap dan lama

LAKUKAN YANG SUNAT UNTUK MENCAPAI KESEMPURNAAN PUASA

  • Segera berbuka ketika telah nyata dan yakin terbenamnya matahari

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka puasa.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

  • Makan sahur

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Makan sahurlah kamu sebab pada makan sahur itu terdapat keberkatan.”

(Muttafaq alaih)

  • Berbuka dengan kurma.
  • Berdoa sewaktu berbuka puasa.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa, doa tidak akan ditolak.”

(HR Ibn Majah)

  • Melambatkan makan sahur, kira-kira waktu menjelang tamatnya waktu Imsak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya melambatkan sahur itu adalah sunnah para Rasul”

(HR Ibn Hibban)

RAMADHAN BULAN AL-QURAN

Sedar ataupun tidak kita, dalam kita menempuh kehidupan ini berbagai-bagai keadaan yang kita alami. Ada masanya kita berhadapan dengan kesenangan dan kemudahan dan ada masanya kita berhadapan dengan kesusahan dan penderitaan. Begitulah lumrah hidup ini. cabaran hidup dan perjalanannya akan berlalu begitu sahaja jika tiada usaha untuk mengambil pengajaran daripadanya. Apa sahaja yang berlaku di sekeliling kita sesungguhnya memilki hikmah yang perlu kita cari. Justeru itulah dalam Al-Quran banyak ayat memerintahkan supaya kita memerhati samaada ianya berkaitan dengan keperluan hidup dunia atau akhirat.

Salah satu kelebihan bulan Ramadhan al-Mubarak ialah ianya bulan yang mana dipilih oleh Allah SWT sebagai bulan turunnya al-Quran. Sebab itulah dalam bulan ini kita juga memperingati satu peristiwa penting dalam Islam iaitu peristiwa Nuzul al-Quran. Firman Allah SWT:

Maksudnya: "(Masa yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah".

(al Baqarah: 185)

Sempena dengan beradanya kita dalam bulan Ramadhan iaitu bulan nuzulnya al-Quran, sama-samalah kita meningkatkan kesedaran dan kesediaan kita untuk mempelajari, membaca, meneroka dan menghayati al-Quran. Sesungguhnya al-Quran itu mengandungi banyak rahsia, khazanah, ilmu dan petunjuk yang dapat dijadikan panduan untuk mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan kesejahteraan di akhirat kelak.

Isi kandungan al-Quran bukan sahaja menyentuh soal tauhid dan iman semata-mata tetapi sarat dengan himpunan panduan hidup. Dalam kita membina kecemerlangan dan peradaban hidup ada kecenderungan manusia yang tidak merujuk pada al-Quran. Ada yang merasakan al-Quran itu hanya dijadikan untuk panduan ibadah khusus sahaja. Al-Quran hanya dikaitkan dengan masjid, surau dan majlis ibadah khusus. Ada orang lupa untuk merujuk dasar-dasar hidup ini dalam al-Quran sehingga ada perbuatan dan tindakan yang kita lakukan mengenepikan hukum Allah SWT. Jauh daripada ruh al-Quran dan panduan agama. Akhirnya segala apa yang kita lakukan itu berteraskan kepada pemikiran manusia semata-mata, kesannya ialah apa yang dilakukan itu boleh membawa kerosakan kepada manusia. Justeru itu kita insafilah firman Allah SWT:

Maksudnya: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

(ar-Rum : 41)

Bagi mengoptimumkan pemanfaatan terhadap al Quran sebagai penjana kecemerlangan ummah, umat Islam perlulah bijak bermuamalah dengan al Quran. Antara langkah yang sangat penting yang perlu dilakukan oleh semua umat Islam ialah mempelajari al-Quran supaya boleh membaca dan memahaminya. Pemahaman yang tepat serta mampu mengambil pengajaran sangat penting supaya segala tindakan kita adalah bersesuaian dengan dasar-dasar yang telah ditentukan oleh Allah. Penghayatan yang bersifat menyeluruh serta usaha peningkatan terhadap penerokaan isi kandungan al-Quran perlu diusahakan secara maksima sepanjang hayat.

KESAN/ PENGARUH IBADAH PUASA.

Semasa bulan Ramadhan kita dilatih untuk mempertingkatkan amalan dengan kepelbagaian ibadah khusus yang ternyata ada kelebihan yang tersendiri. Ibadah puasa wajib pada bulan Ramadhan menyimpan banyak kelebihan untuk membentuk insan bertaqwa. Allah SWT menyediakan kelebihan yang khusus pada ibadah ini justeru itulah kita berusaha untuk menyempurnakan. Hal ini digambarkan dalam hadith maksudnya:

"Kecuali puasa kerana sesungguhnya ia untukku dan aku membalasnya. Ini kerana beliau meninggalkan syahwatnya dan makanannya semata-mata keranaku. Bagi orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi."

(HR Ahmad, al-Bukhari, an-Nasaie & Ibn Majah)

Kelebihan inilah yang mendorong orang-orang yang beriman untuk memperbanyakkan amal kerana mereka yakin dengan janji Allah SWT. Mereka meletakkan harapan yang tinggi untuk menjadi orang yang bertaqwa kerana mereka juga yakin bahawa orang yang paling mulia di sisi Allah SWT adalah orang yang bertaqwa.

Ibadah puasa yang kita lakukan juga dapat melatih dan mendidik kita menjadi orang yang sabar dan mampu mempertahankan diri. Kita terlatih untuk memiliki perisai supaya dapat mengelak diri daripada melakukan sebarang kejahatan daripada semua sumbernya. Orang beriman juga yakin dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Puasa itu sebagai perisai."

(HR Ahmad & an-Nasaie)

"Puasa adalah separuh kesabaran dan atas setiap sesuatu ada zakatnya dan zakat badan itu dengan berpuasa".

(HR al-Baihaqi)

Ramadhan juga telah menimbulkan kesedaran yang tinggi kepada kita bahawa kita perlu empati pada orang lain. Kepayahan dan cabaran yang dihadapi dalam bulan Ramadhan menimbulkan keinsafan kepada kita bahawa di sana masih terdapat orang-orang yang susah daripada kita. Alhamdulillah kita dapat mengecapi berbagai nikmat. Hasil tarbiyah Ramadhan lahirlah insan-insan yang perihatin dan suka membantu orang lain dengan apa cara sekalipun. Senang sama senang susah sama susah. Ditambah lagi dengan kefardhuan zakat fitrah pada bulan ini, menguji kita supaya menjadi orang-orang yang sanggup berjuang mengeluarkan sedikit wang untuk diagihkan kepada orang-orang yang memerlukannya.

Hakikatnya, jika kita mahu berfikir dan cuba menyelami kelebihan tarbiyyah Ramadan, sesungguhnya banyak sekali kesan dan pengaruhnya. Apa yang perlu kita lakukan ialah melakukan muhasabah diri kita dan berfikir dan terus berfikir kesan ibadah yang kita laksanakan dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

Tarbiyah Ramadhan bukan hanya untuk kita perolehi sebulan sahaja, tetapi sebenarnya adalah latihan intensif sebulan yang mana kesannya adalah untuk sepanjang tahun dan seterusnya sepanjang hayat kita. Kita sendiri perlu mempastikan bahawa selepas Ramadhan kita menghayati segala apa yang kita perolehi dalam bulan Ramadhan ini. Kalau dalam Ramadhan kita dapat mendisiplinkan diri dengan solat 5 waktu biarlah ia berterusan sampai ke akhir hayat kita dan dalam keadaan apa sekalipun. Begitulah juga dalam melakukan ibadah yang lain, biarlah kita menjadi hamba Allah SWT yang taat dan setia kepadaNya kerana yakinlah “DARIPADA ALLAH KITA DATANG DAN KEPADANYA KITA AKAN KEMBALI”.

Akhirnya setelah kita melalui Ramadhan kita berada dalam keadaan yang sangat suci bersih atau kembali kepada keadaan fitrah. Fitrah kita mungkin tersasar atau tercalar sebelum fitrah di tarbiyah ketika Ramadhan sehingga kita dapat menapakkan semula fitrah pada tapaknya yang asal. Justeru itulah Hari Raya yang kita sambut disebut sebagai hari raya Idil Fitri iaitu hari kemenangan kita kembali kepada fitrah.

Mufti Negeri Sarawak

0 ulasan:

Post a Comment