PENDAHULAN Pernahkah kamu memikirkan tentang keluasan cakerawala yang kita mendiami ini? Mungkin kamu jarang memikirkan persoalan ini sehingga sekarang. Walaupun kamu pernah memikirkannya, masih sukar untuk membayangkan saiz cakerawala ini. Biar kami terangkan keluasan cakerawala ini melalui contoh berikut. Berapakah keluasan yang dapat kamu bayangkan? Jarak di antara satu bandar dengan bandar yang lain sudah cukup luas bagi kamu. Mungkin, kamu telah mengembara dari timur hingga ke barat negara kamu, dan kamu merasa kagum dengan keluasannya. Sebahagian kamu mungkin pernah ke negara-negara yang jauh. Tetapi, satu fakta penting! Walaupun kamu telah mengembara mengelilingi dunia, ia masih terlalu kecil untuk membantu kamu membayangkan saiz gergasi cakerawala ini. Ini kerana saiz Bumi jika dibandingkan dengan seluruh alam cakerawala ini adalah seperti sebintik debu. Ini mungkin mengejutkan kamu, tetapi itulah kebenarannya; planet Bumi hanya sebintik debu dibandingkan dengan alam ini. Adik-adik sekalian! Sekarang fikirkan tentang Bumi kita, satu titik debu di dalam alam yang amat luas ini. Setiap pagi kamu bangun dari tidur di dalam rumah di dalam bola bulat ini. Jalan-jalan yang kamu gunakan untuk ke sekolah juga dibuat di atasnya.
Sekarang fikirkan perkara ini sebentar! Jika kamu letakkan sebuah kereta mainan di atas sebiji bola di atas tangan kamu, bolehkah ia kekal berada di situ? Sudah tentu tidak. Sedangkan kamu menghabiskan sepanjang hari kamu di atas planet bulat ini, bermain dan bergembira dengan rakan-rakan kamu tanpa terjatuh keluar! Sekarang, fikirkan tentang matahari. Bagaimana kamu memanaskan diri kamu, dan dari mana cahaya datang jika tanpa bola api kuning ini? Bolehkah kamu pergi berenang dan mandi? Bolehkah kamu pergi berkelah bersama dengan keluarga atau rakan sekelas kamu? Sudah tentu tidak! Kamu tidak dapat melakukan semua perkara ini, kerana tanpa matahari, tidak akan ada hidupan di Bumi ini. Bukan sekadar tumbuh-tumbuhan, pokok-pokok, burung-burung, serangga dan haiwan peliharaan yang kamu sayangi, tetapi juga ibu, ayah, kawan-kawan, adik-beradik dan malah diri kamu tidak akan wujud. Dua contoh tentang Bumi dan matahari menunjukkan kepentingan objek-objek langit dan peranannya kepada hidup kita. Kami akan mengemukakan banyak contoh-contoh menarik di dalam buku ini. Sungguh menarik dapat mempelajari tentang cakerawala ini melalui contoh-contoh ini. Kamu juga perlu berkongsi apa yang kamu pelajari ini bersama dengan ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan kamu. Mereka juga tentu gembira mempelajari topik-topik yang menarik ini. Apabila kamu membaca buku ini, kamu akan lihat bahawa Allah, Pencipta kita, telah menjadikan alam ini dan semua makhluk di dalamnya. Kamu juga akan melihat bahawa Allah menjadikan matahari, bulan dan Bumi dan segala yang berada di alam ini, semoga dengan itu kita dapat hidup dengan lebih gembira dan selesa, dan untuk menguji kita. Sekarang mari kita mulakan perjalanan hebat kita ke alam semesta. | ||||
|
Penciptaan Alam Semesta
Pernahkah kamu terfikir bagaimana cakerawala yang tidak berpenghujung ini terbentuk? Bagaimana Bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang yang hebat ini dapat muncul? Tahukah kamu alam ini dipenuhi dengan berbagai benda menarik termasuk juga Bumi, bulan dan matahari? Tahukah kamu bahawa keseimbangan halus wujud di alam ini yang memberikan keadaan yang baik untuk hidup? Sekarang mari kita mula pelajari jawapan-jawapan kepada soalan-soalan ini, dan bagaimana Allah menjadikan alam ini. SUATU MASA DAHULU ALAM INI TIDAK WUJUD! Pada zaman dahulu, pengetahuan manusia tentang angkasa amat terbatas. Peralatan-peralatan yang diperlukan untuk meneroka angkasa masih belum cukup maju seperti sekarang. Oleh itu, kadangkala manusia mempunyai pendapat-pendapat aneh tentang bagaimana alam ini terbentuk. Pendapat yang menyatakan alam ini telah sedia ada, merupakan pendapat paling lucu. Sebelum manusia mempunyai teleskop dan peralatan untuk mengkaji langit, beberapa orang dungu mencadangkan alam ini tidak mempunyai permulaan tetapi telah sedia wujud dan akan terus wujud untuk selama-lamanya. Bagaimanapun, ia tidak masuk akal! Rumah dan bangunan sekolah kamu telah dibina pada tarikh tertentu. Malah ayat-ayat yang kamu baca sekarang ini juga telah ditulis pada waktu tertentu. Begitu juga kamu, ibu dan bapa kamu juga mempunyai tarikh lahir. Ini bererti semua benda sama ada bernyawa atau tidak wujud pada waktu tertentu. Menyatakan, "Alam ini tidak mempunyai tarikh lahir, kerana ia telah sedia wujud", adalah mengarut. Tiada siapa yang akan mempercayainya kini. Biar kami berikan satu contoh: di dalam perjalanan kamu ke sekolah, bayangkan kamu melalui jalan yang berbeza dan telah menemui sebuah patung. Apa yang akan kamu fikirkan? Sudah tentu kamu akan berfikir, "Seorang pemahat telah menghasilkan patung ini dan meletakkannya di sini", bukankah begitu? Bagaimana sekiranya seorang rakan kamu menyatakan, "Tidak, patung ini telah sedia ada di sini; tiada siapa mengukirnya"? Mungkin kamu akan berkata kepadanya, "Jangan mengarutlah! Setiap kerja seni mempunyai pembuatnya!", bukankah begitu?
Mereka yang mendakwa alam ini telah sedia wujud mempunyai pemikiran lebih mengarut daripada rakan kamu yang mendakwa patung tersebut telah sedia ada di situ. Patung hanyalah sebiji batu yang dipahat, tetapi cakerawala ini mengandungi banyak bintang-bintang di langit dan sistem-sistem yang lebih rumit dan sukar daripada sebiji batu. Terima kasih kepada penemuan astronomi, kesilapan dakwaan alam ini telah sedia wujud sudah menjadi nyata. Kajian ini menunjukkan bahawa seperti mana benda-benda lain, alam ini juga mempunyai permulaan. Manusia pertama yang membuktikan alam ini mempunyai permulaan ialah pakar astronomi Edwin Hubble. (pakar astronomi ialah mereka yang mengkaji angkasa, bintang-bintang dan galaksi-galaksi). Hubble bekerja dengan sebuah teleskop gergasi. Suatu hari, pada tahun 1929, beliau mendapati bintang-bintang bergerak. Ia bukan gerakan rawak biasa. Bintang-bintang sedang bergerak menjauhi kita secara berterusan. Di samping itu, ia juga bergerak daripada satu sama lain. Sebuah cakerawala yang semua benda bergerak daripada benda-benda lain bererti cakerawala tersebut sedang membesar. Hanya seratus tahun dahulu manusia mula mengetahuinya. Hari ini, semua ahli sains bersetuju bahawa bintang-bintang bergerak daripada satu sama lain begitu juga dengan Bumi. Pergerakan bintang-bintang ini adalah satu maklumat penting tentang penciptaan alam ini. Fakta bahawa bintang-bintang ini bergerak menjauhi satu sama lain, membuktikan bahawa suatu masa dahulu mereka bercantum. Ahli sains menganggarkan 15 bilion tahun dahulu semua jirim di cakerawala ini berkumpul bersama di dalam satu titik sekecil hujung jarum. Cakerawala kita mula terbentuk apabila titik kecil ini meletup. Sekarang mari kita senaraikan satu-persatu apa yang telah kita perhatikan:
Ia akan berterusan sehinggalah seluruh cakerawala ini bercantum kembali pada satu titik. Jika kita pergi lebih jauh, titik ini juga akan hilang. Ini bererti alam ini wujud daripada ketiadaan: Allah telah menjadikannya. Kamu akan dapat memahami apa yang dimaksudkan dengan "ketiadaan" dengan menjawab tiga soalan ringkas ini: 1. Berapa usia kamu setahun dahulu? Kamu mungkin menjawab, "Setahun lebih muda". 2. Jika kamu menghitung usia kamu ke belakang tahun demi tahun, berapakah usia terakhir kamu? Jawapan kamu mungkin "satu". Setahun selepas kelahiran kamu, kamu berusia setahun. Bagaimanapun, selepas kelahiran kamu belum cukup tua untuk mempunyai umur. Ini dapat menjelaskan "usia sifar". 3. Fikirkan tentang tahun sebelum hari jadi kamu yang pertama! Berapakah umur kamu? Di manakah kamu ketika itu? Kamu mungkin menjawab dengan berkata, "Saya belum wujud ketika itu". Kamu tidak wujud sebelum ibu kamu mengandung. Jika kamu undurkan masa untuk tubuh kamu, kamu akan dapati tubuh kamu akan hilang pada akhir operasi ini. Setiap tahun apabila masa berundur, tubuh kamu akan menjadi makin kecil dan kecil, sehingga kamu menjadi seorang bayi di dalam rahim ibu kamu. Jika operasi ini diteruskan, kamu akan sampai pada ketika ibu kamu belum mengandung.
Alam ini tidak wujud sebelum Allah menciptanya. Apabila kita mengundurkan masa, cakerawala ini juga akan menjadi lebih muda. Ia menjadi semakin kecil sehingga menjadi satu titik dan akhirnya hilang. Semua ini membuktikan cakerawala ini telah "dicipta". Sementara itu, ingatkan diri kita bahawa kita menggunakan perkataan "mencipta/menjadikan" apabila kita hendak menerangkan sesuatu didatangkan daripada ketiadaan. Hanya Allah dapat mewujudkan sesuatu daripada ketiadaan. Dengan kata lain, hanya Allah dapat "mencipta" sesuatu. Manusia juga dapat menghasilkan sesuatu yang tidak wujud sebelum ini. Contohnya, mereka boleh membuat lukisan. Mereka dapat membina kapal-kapal. Bagaimanapun, sebenarnya, manusia hanya dapat menghasilkan sesuatu dengan menggunakan bahan-bahan yang terdapat di dunia ini dan dengan meniru benda-benda yang telah sedia wujud di dunia ini. Oleh itu, kita tidak boleh menamakannya "ciptaan". Ciptaan ialah menghasilkan sesuatu tanpa sebarang contoh ikutan. Allah telah mencipta segalanya di alam ini, termasuk Bumi, daripada ketiadaan.
Manusia meniru apa yang telah Allah cipta, seperti apabila membuat lukisan. Jika kamu diminta melukiskan satu landskap di atas sekeping kertas, apa yang akan kamu lukis? Sudah tentu kamu akan melukis matahari, sebuah gunung, beberapa batang pokok, sejalur pelangi dan laut. Tetapi, pernahkah kamu fikirkan bahawa mustahil kamu dapat melukis sebatang pokok sekiranya kamu tidak pernah melihatnya? Fikirkan seorang yang buta sejak lahir. Di hanya mengetahui matahari bulat dan bercahaya, apabila ada orang yang menggambarkannya kepadanya. Dia hanya akan tahu apabila dia melihatnya sendiri. Adik-adik! Apa yang ditunjukkan oleh contoh-contoh ini, ialah hanya Allah mempunyai kuasa untuk mencipta sesuatu tanpa contoh. Al-Quran, kitab Allah yang diturunkan kepada manusia sebagai panduan, memberitahu kita seperti berikut: (Dia lah) yang menciptakan langit dan Bumi… (Surah Al-An'am:101) Sekarang masanya untuk mempelajari bagaimana Allah mencipta alam ini. Pasti kamu tertanya-tanya betapa hebatnya peristiwa yang telah berlaku. 'BIG BANG' DAN LETUPAN CAKERAWALA Tahukah kamu berjuta-juta tahun dahulu cakerawala ini hanya satu titik kecil. Sekarang masanya untuk belajar bagaimana titik kecil ini berkembang. Kamu mungkin pernah melihat filem kartun di TV. Selalunya, musuh akan mengejar hero filem tersebut dan hero akan melakukan apa sahaja untuk melarikan diri. Salah satu benda yang sering digunakan ialah dinamit. Contohnya, musuh Bugs Bunny meletakkan dinamit di rumahnya, atau musuh Road Runner meletakkan dinamit di jalannya. Selalunya, musuh-musuh ini berjaya melarikan diri dengan kemahiran yang hebat. Sekarang, cuba bayangkan salah satu letupan ini. Contohnya, pemburu yang mengejar Bugs Bunny meletakkan bahan letupan ke dalam rumah bawah tanahnya. Apa berlaku apabila ia meletup? Tanah berselerakan dan serpihannya bergerak daripada satu sama lain. Sebelum letupan tersebut, serpihan-serpihan tanah ini bercantum. Tetapi, selepas letupan, serpihan-serpihan kecil tanah berselerak di merata tempat dan bergerak daripada satu sama lain. Berjuta-juta tahun dahulu, cakerawala ini wujud selepas sebuah letupan. Banyak serpihan wujud dengan letupan ini. Serpihan-serpihan ini bergerak dan berselerak ke merata tempat, sama seperti tanah yang berselerak. Kemudian mereka mula membentuk cakerawala dan planet-planet dan lain-lain. Letupan ini, yang menjadi permulaan kepada penciptaan cakerawala ini oleh Allah, telah dinamakan sebagai 'Big Bang'. Ketika letupan hebat ini berlaku, alam ini mula membesar dan berkembang, dan ia masih berkembang hari ini. Sebelum meneruskan ke bahagian lain, mari kita senaraikan beberapa fakta yang telah kita buat sebelum ini: 1. Dahulu, alam ini tidak wujud; 2. Alam ini wujud dengan letupan satu titik kecil; 3. Selepas letupan ini, sejumlah besar unsur mula terbentuk yang menjadikan alam ini, dan unsur-unsur ini mula bergerak menjauhi satu sama lain; 4. Cakerawala ini berkembang apabila objek-objek di dalamnya bergerak daripada satu sama lain. Ini adalah tanda kekuasaan Allah yang tidak terbatas. Sekalipun seluruh manusia di Bumi ini bergabung, mereka tidak akan dapat meniru cakerawala ini. Walaupun semua bahan-bahan di dunia ini dikumpulkan, manusia masih gagal meniru letupan sebesar 'Big Bang'. Semua kekuatan hanya milik Allah, Yang menjadikan segalanya. Setelah membaca bahagian berikutnya kamu akan lebih memahami kekuasaan tidak terbatas Allah dan kebijaksanaan-Nya. ATURAN YANG TERHASIL DARIPADA SEBUAH LETUPAN Adik-adik, seperti yang kamu bayangkan, tidak ada letupan yang dapat membentuk satu struktur tersusun. Sebaliknya, letupan memusnahkan susunan yang ada. Ia merosakkan apa sahaja yang berada di sekitarnya. Satu bahan letupan berkuasa tinggi dapat meranapkan sebuah bangunan. Bom paling berkuasa di dunia ialah bom atom. Apabila dilepaskan, bom ini memusnahkan semua benda di dalam sasarannya, di dalam beberapa kejadian, beberapa bandar.
'Big Bang' menghasilkan letupan yang berbilion kali ganda bom atom. Tetapi 'Big Bang' sebaliknya memberikan kesan berlainan dan membentuk sebuah dunia sempurna yang tersusun. Dunia yang kita kenali, yang telah direka dengan teliti untuk memenuhi keperluan kita, wujud selepas letupan ini. Bagaimana 'Big Bang' menghasilkan aturan yang begitu sempurna? Allah mencipta cakerawala ini daripada tiada melalui letupan 'Big Bang'. Jelaslah, Allah juga membuat aturan sempurna di dalam alam ini. Sebarang jawapan selain daripada yang di atas adalah salah. Contohnya, menyatakan aturan ini wujud secara kebetulan selepas letupan adalah tidak logik. Biar kita buat satu persamaan untuk menjelaskannya dengan lebih baik:
Apa akan berlaku kepada pasir-pasir jika sebuah bom dilemparkan di pantai? Sudah tentu pasir-pasir ini akan berselerakan ke merata tempat, bukankah begitu? Bagaimana jika seseorang menyatakan sebuah istana pasir telah terbentuk disebabkan satu letupan di pantai? Kamu mungkin berpendapat dia gila atau berbohong. Begitu juga, mereka yang mendakwa bahawa aturan di alam ini terjadi dengan sendirinya, adalah gila. Terdapat sejumlah perincian, contoh-contoh keseimbangan dan susunan sempurna di dalam alam gergasi ini, yang lebih kompleks jika dibandingkan dengan sebuah istana pasir. Kesimpulannya, aturan sempurna di dalam alam ini membuktikan bahawa ia tidak datang dengan sendirinya. Setiap aturan dan keseimbangan yang wujud di dalam alam ini adalah petanda kebijaksanaan Allah yang tidak terbatas. MAKLUMAT YANG AL-QURAN BERIKAN TENTANG ALAM SEMESTA INI Al-Quran adalah kitab suci Allah yang diturunkan kepada manusia. Ia memberikan maklumat-maklumat paling teliti di dalam semua isu. Kerana setiap ayat Al-Quran adalah Kalam Allah Yang Maha Kuasa. Tetapi, zaman ketika Al-Quran diturunkan, sains dan teknologi tidak secanggih hari ini. Oleh itu, tiada siapa dapat menjalankan kajian tentang maklumat-maklumat yang ada di dalam Al-Quran. Bagaimanapun, hari ini, terdapat kemajuan yang hebat di dalam sains dan teknologi. Hampir semua perkembangan di dalam sains adalah selaras dengan maklumat-maklumat yang Al-Quran berikan. Contohnya, Al-Quran memberitahu kita langit dan Bumi asalnya bersatu, tetapi Allah telah memisahkannya. Di dalam Al-Quran, fakta saintifik ini digambarkan seperti berikut: Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan Bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? … (Surah Al-Anbiyaa':30) Mari kita kaji ayat ini bersama:
Akhirnya, kenyataan, "Kami pisahkan antara keduanya", menunjukkan bahawa cakerawala ini telah berpecah menjadi serpihan-serpihan disebabkan oleh letupan tersebut. Contoh ini membuktikan dua fakta penting:
Di dalam bab ini, kita melihat Allah mencipta seluruh alam ini daripada ketiadaan. Sekarang mari kita mulakan satu perjalanan melalui cakerawala ini, yang menunjukkan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah. | ||||||||||||||
Alam Semesta Di dalam bab ini, kita akan bercakap dengan panjang lebar tentang planet-planet dan objek-objek lain di alam semesta ini. Matahari, bulan dan Bumi adalah di antara yang paling kita kenali. Tetapi, sebenarnya terdapat objek-objek angkasa lain di cakerawala ini yang kamu tidak dapat lihat. Fikirkan tentang filem atau cerita kartun tentang angkasa lepas! Angkasa lepas dipenuhi dengan bintang-bintang, planet-planet dan meteor-meteor yang dapat dilihat di dalam filem-filem ini. Setiap satunya dikenali sebagai objek angkasa. Berbilion objek-objek angkasa ini berkumpul untuk membentuk himpunan gergasi sistem-sistem bintang yang dikenali sebagai galaksi. Semua objek-objek angkasa ini sangat besar. Contohnya, planet kita Bumi adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan objek-objek angkasa lain. Tetapi, ia cukup besar untuk menampung manusia, haiwan, gunung-ganang, lautan dan apa sahaja yang kamu dapat fikirkan. Sekarang mari kita masuki himpunan gergasi sistem bintang ini, galaksi-galaksi yang menghimpunkan berbilion-bilion bintang. GALAKSI-GALAKSI Galaksi adalah gabungan berbilion bintang. (Bintang ialah objek-objek angkasa besar seperti matahari. Bumi dan bulan bukan bintang). Terdapat tiga trilion bintang di dalam galaksi terbesar. Di dalam galaksi bersaiz sederhana, terdapat kira-kira 200 ke 300 bilion bintang, sementara terdapat sekitar 100 bilion bintang di dalam galaksi kecil. Sekarang berhenti dan fikirkan seketika: Apa ertinya jumlah satu bilion kepada kamu? Contohnya, jika kamu meletakkan dua sifar selepas angka satu, ia akan menjadi 100. Jika kamu menambahkan satu lagi sifar kepada angka ini, ia akan menjadi 1,000. Tambah satu lagi sifar dan sekarang kamu mendapat 10,000 (sepuluh ribu). Bolehkah kamu mengira sehingga 10,000? Mungkin kamu boleh melakukannya, tetapi ia mengambil masa yang panjang. Sedangkan kita masih belum sampai ke angka satu bilion. Kemudian kita tambahkan dua sifar kepada angka 10,000. Sekarang kita mendapat 1,000,000 (satu juta). Kita masih tidak mencapai angka bintang-bintang di galaksi. Tetapi jika kamu menambah tiga lagi sifar pada angka 1,000,000, kamu akan mendapat 1,000,000,000 (satu bilion). Bolehkah kamu mengira sehingga 1,000,000,000? Biar kita menjawab soalan ini; mengira satu bilion memakan masa selama beberapa dekad, satu dekad ialah sepuluh tahun. Sekarang kita hampir mencapai angka bintang-bintang di galaksi. Jika kamu menambahkan dua lagi sifar selepas angka 1,000,000,000, ia menjadi 100,000,000,000 (seratus bilion). Ia adalah jumlah bintang-bintang di dalam galaksi-galaksi kecil. Sekarang sudahkah kamu mendapat gambaran tentang cakerawala ini. Jika kamu menghabiskan seluruh masa kamu mengira, kamu masih gagal mengira semua bintang-bintang di angkasa. Allah, Pencipta alam ini, telah menjadikan angkasa tidak terbatas yang tidak dapat kamu bayangkan, dan Dia mengawal setiap titik cakerawala yang besar ini setiap masa. Allah mengetahui dan melihat setiap hidupan di dalam cakerawala yang besar ini, dan segala apa yang berlaku. Kuasa tidak terbatas Allah ini diceritakan di dalam Al-Quran seperti berikut: … dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di Bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap- tiap sesuatu. (Surah Ali 'Imran:29) Sekarang mari kita kembali kepada topik kita dan cuba mempelajari lebih banyak tentang galaksi. Di dalam galaksi-galaksi bersaiz sederhana atau besar, terdapat satu pusat galaksi. Sekeliling pusat galaksi ini adalah tangan-tangan yang berputar pada kelajuan yang besar. Tangan-tangan ini terdiri daripada bintang-bintang, gas dan awan-awan debu. Dengan tangan-tangan dan pusatnya, galaksi-galaksi adalah objek angkasa terbesar di angkasa. Kelompok-kelompok galaksi ini juga membentuk kelompok-kelompok objek angkasa yang lain. Terdapat beratus-ratus galaksi di dalam satu kelompok galaksi. Tambahan pula, kelompok-kelompok galaksi ini membentuk kelompok-kelompok objek angkasa lain. Kelompok galaksi ini makin membesar dan terus membesar. Sekarang mari kita senaraikan kembali apa yang telah kita perhatikan setakat ini:
Simpan di dalam fikiran kamu, sebuah galaksi yang terkumpul daripada 100 bilion bintang-bintang adalah sebuah galaksi kecil, jangan lupa setiap bintang adalah sekurang-kurangnya sebesar matahari. Tambahan pula, terdapat planet-planet besar dan kecil seperti Bumi kita yang berputar mengelilingi semua bintang-bintang ini. Sekarang, fikirkan perkara berikut: Bolehkah berbilion-bilion bintang dapat berkumpul secara kebetulan di dalam keadaan yang tersusun? Bolehkah bintang-bintang ini secara spontan mengadakan satu aturan yang membolehkan mereka bergerak tanpa berlanggar dengan objek-objek angkasa yang lain (contohnya Bumi kita dan planet-planet lain)? Sudah tentu mustahil. Ini bererti bahawa bintang-bintang yang berputar dengan kelajuan yang tinggi tanpa berlanggar dengan objek-objek angkasa yang lain sejak mula kewujudannya adalah satu petanda kewujudan Allah: Pencipta, Perancang, Pengatur dan Pentadbir seluruh alam. Allah telah menjadikan banyak laluan untuk planet-planet, bintang-bintang dan komet-komet di angkasa. Semua objek-objek angkasa ini mengikut laluan mereka sendiri tanpa berlanggar dengan yang lain. Sekarang kita sambung semula perjalanan kita dengan galaksi ini. BIMASAKTI Bimasakti adalah nama bagi galaksi di mana terletaknya Bumi kita. Galaksi Bimasakti amat besar. Seperti galaksi-galaksi besar yang lain, Bimasakti juga mempunyai pusat galaksi. Sudah tentu kamu masih ingat apa itu pusat galaksi kerana kita baru sahaja membincangkannya di bahagian lepas. Bintang-bintang di dalam pusat-pusat ini adalah bintang-bintang tua; mereka berwarna merah atau kuning. Bintang-bintang pada tangan-tangan galaksi ini selalunya adalah bintang-bintang biru yang muda dan panas. Gas dan awan-awan debu terdapat di dalam tangan-tangan ini. Bimasakti berbentuk pusar; sebenarnya bentuk galaksi ini adalah seperti "roda pin". Iaitu, ia mempunyai tangan-tangan pada pusatnya yang keluar ke arah bahagian luar. Terdapat empat tangan. Atau dikenali sebagai "Tangan Pemburu" (Hunter Arms). Kumpulan planet yang dikenali sebagai "Sistem Suria" terletak pada tangan ini, dan Bumi kita adalah satu daripada planet-planet di dalam kumpulan ini. Sistem Suria kita terletak sedikit agak jauh daripada pusat galaksi ini. Matahari (dan sistem Suria kita) mengelilingi pusat galaksi ini, dan menyempurnakan satu putaran setiap 220 juta tahun atau lebih.
Bimasakti ini telah mengekalkan bentuk dan pergerakannya selama berbilion-bilion tahun. Walaupun bintang-bintang di dalamnya beredar dengan kelajuan yang hebat, mereka memelihara laluan mereka sendiri. Bagaimana pun, mustahil bagi bintang-bintang ini untuk membentuk bentuk-bentuk seperti ini dengan sendiri. Mustahil juga untuk mereka mencapai persepakatan; untuk beratur dengan cara yang paling tepat dan bergerak dengan cara paling tersusun. Tidak mungkin juga undang-undang yang mengatur bintang-bintang ini membentuk dengan sendirinya. Fikirkan tentang batu-batu di taman kamu! Bolehkah batu-batu ini membuat keputusan dan berkata, "Biar sebahagian daripada kita membentuk bahagian pusat dan yang lain mengambil posisi di bahagian tangan, dan kemudian berpusing di dalam taman secara berterusan"? Apakah kamu akan percaya seorang yang menyatakan telah mendengar batu-batu bercakap sesama mereka dengan cara ini? Sudah tentu tidak. Begitu juga, jika menyatakan Bimasakti ini wujud secara kebetulan dan bintang-bintang bergerak dengan sendirinya, ia amat lucu seperti contoh batu-batu di taman. Jangan lupa, objek-objek angkasa ini bukan benda hidup, ia benda tidak bernyawa seperti batu-batu di taman. Tidak ada kuasa lain selain daripada Allah yang berupaya menjadikan berbilion-bilion bintang gergasi di dalam cakerawala yang teratur ini. Allah menjadikan mereka dan undang-undang yang mengawal mereka. Mereka semua bersaksi dengan kekuasaan dan pentadbiran Allah ke seluruh alam semesta ini. Kerana itu, setiap cebis maklumat yang kita pelajari tentang alam ini mengingatkan kita kepada kewujudan Allah dan penciptaannya. Dengan cara ini, Allah juga menunjukkan kepada kita kebijaksanaan dan pengetahuan-Nya. Sekarang mari kita beralih kepada bintang. BINTANG-BINTANG Bintang-bintang dan planet-planet terbentuk melalui pemampatan jirim-jirim gas dan debu di angkasa yang dinamakan "nebula". Kerana itu, nebula, sumber objek-objek angkasa ini, mempunyai peranan utama di cakerawala ini. Nebula tidak mempunyai cahaya sendiri seperti bintang. Oleh itu, sukar untuk melihatnya. Ia hanya dapat dilihat apabila gas dalamnya mengeluarkan cahaya atau jika ia memantulkan cahaya daripada bintang-bintang. Kita juga dapat melihatnya apabila ia dilintasi satu sumber cahaya. Bintang memberikan kepanasan, cahaya dan tenaga. Selain daripada bintang-bintang kecil, terdapat juga bintang-bintang besar. Sebenarnya matahari bukan bintang utama seperti yang kita sangka; terdapat banyak bintang-bintang lebih besar daripadanya. Tahukah kamu bintang juga mempunyai jangka hayat? Bintang bukan benda hidup, tetapi seperti juga benda hidup, mereka juga dilahirkan, hidup dan mati. Seperti yang telah kami tunjukkan, bintang terbentuk di dalam nebula. Sebuah bintang gergasi selalunya mati di dalam letupan besar, jirim-jirim yang membentuknya akan berselerakan ke serata arah. Daripada pecahan-pecahan ini, ia membentuk elemen-elemen yang menyebabkan kemusnahan bintang-bintang dan planet-planet kecil yang berdekatan. Matahari dan planet-planet di dalam Sistem Suria dan Bumi kita telah terbentuk berikutan letupan sebutir bintang gergasi pada masa silam. Sekarang, mari kita melawat ke dalam Sistem Suria kita dan lihat bagaimana bentuknya! SISTEM SURIA Di dalam Sistem Suria kita, terdapat sembilan planet utama dengan 61 satelit dan sejumlah asteroid, semuanya mengelilingi sebutir bintang yang dinamakan "matahari". Matahari terletak di tengah Sistem Suria. Sembilan planet-planet ini, yang menjadi sebahagian daripada Sistem Suria kita, berputar sendiri sebagaimana ia beredar mengelilingi matahari dalam bentuk yang tersusun. Mari kita sebutkan nama-nama planet ini: Utarid, Zuharah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun dan Pluto. Seperti yang kamu dapat lihat, Bumi kita berada di tempat ke tiga daripada matahari. Setiap planet di dalam Sistem Suria ini mempunyai ciri-ciri berbeza. Suhu di sesetengah planet ini cukup panas untuk mencairkan timah. Sementara yang lain pula, diseliputi salji. Sebahagian planet terdiri daripada gas-gas keseluruhannya. Sesetengahnya pula terlalu kecil seperti bulan. Terdapat hubungan harmoni di antara satelit-satelit dengan primernya. (Di dalam ilmu astronomi, satu primer bererti satu objek yang dikelilingi oleh objek lain. Primer Bumi ialah matahari; primer bulan ialah Bumi) Planet-planet menarik satelit-satelit mereka. Bagaimanapun, satelit-satelit ini mengimbangi tarikan ini. Tanpa keseimbangan seperti ini, satelit akan melekat pada planet atau terlepas ke angkasa. Contohnya jika bulan berputar perlahan, ia akan menjunam ke Bumi dengan kepantasan yang tinggi. Ia akan memusnahkan Bumi. Jika ia berputar terlalu laju, ia akan bergerak meninggalkan Bumi dan tidak akan menjadi satelit kita lagi. Sekarang, mari kita perhatikan matahari, pusat Sistem Suria kita. MATAHARI Matahari adalah objek angkasa terbesar di dalam Sistem Suria ini. Ia terdiri daripada gas-gas yang panas dan bercahaya. Setiap saat, berlaku letupan di permukaannya, seolah-olah matahari itu sendiri adalah sebutir bom nuklear gergasi. Letupan-letupan permukaan ini adalah sama dengan tenaga yang dihasilkan oleh berjuta bom atom. Ia melontarkan api 40-50 kali ganda lebih besar daripada Bumi. Matahari kelihatan seperti bola api dan mengeluarkan kepanasan dan cahaya daripada permukaannya. Jika matahari tidak wujud, kita akan sentiasa berada pada waktu malam, dan seluruh dunia kita akan diliputi salji. Lebih penting, tidak akan ada hidupan di Bumi ini. Angkasa (kamu masih ingat filem tentang angkasa) adalah satu tempat yang sangat gelap, besar dan kosong. Bumi adalah sebuah objek angkasa di dalam angkasa luas yang gelap ini, dan tiada objek angkasa lain yang cukup hampir untuk menerangi dan memanaskan Bumi kita. Cahaya daripada matahari sangat terang. Kamu mungkin pernah mencuba melihat tepat pada matahari pada hari cerah. Selepas melihat selama beberapa saat, mata kamu menjadi silau, bukankah begitu? Kerana cahayanya terlalu terang, melihat tepat pada matahari adalah sangat bahaya kepada mata kita. Begitu juga, terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari pada musim panas juga berbahaya. Kulit kamu mungkin akan terbakar, dan ia hanya dapat disembuhkan dengan rawatan perubatan. Terutamanya pada musim panas, kepanasan yang terpancar daripada matahari sangat tinggi. Bagaimanapun, matahari terletak berjuta-juta kilometer daripada Bumi, dan hanya satu bahagian daripada dua ribu kepanasan yang dipancarkannya mengenai Bumi.
Jika suhu Bumi sudah cukup tinggi walaupun dengan jarak di antara Bumi dan matahari, kamu boleh bayangkan betapa panasnya matahari? Ahli sains mengeluarkan anggarannya. Bagaimanapun, kita tidak dapat mengetahuinya dengan membandingkan dengan suhu yang sama di dunia. Di permukaan matahari sahaja, suhunya ialah 6,000°C. di dalamnya, ia meningkat sehingga 12,000,000°C. Tiada kepanasan di Bumi yang dapat kamu bandingkan dengan kepanasan ini! Tangan kamu hanya dapat menyentuh air sekitar 50°C. Walaupun pada musim panas, suhu hanya berada sekitar 40-50°C. Contoh ini membuktikan Allah telah menetapkan jarak di antara Bumi dan matahari dengan tepat. Jika matahari sedikit hampir kepada kita, semua yang berada di Bumi akan layu dan kering oleh kepanasan dan bertukar menjadi abu. Bagaimanapun, jika ia sedikit terlebih jauh, semuanya akan beku. Sudah tentu hidupan tidak akan wujud di dalam kedua-dua keadaan ini. Kawasan kutub, di mana kepanasan daripada matahari paling kurang diterima, sentiasa diseliputi ais. Sebaliknya, di khatulistiwa, kawasan paling banyak menerima cahaya matahari, sentiasa panas. Allah telah mewujudkan kawasan-kawasan ini sebagai perumpamaan kepada kita. Kawasan-kawasan lain lebih sesuai untuk manusia hidup. Ini menunjukkan rahmat Allah yang dilimpahkan kepada kita. Ini kerana, jika Allah tidak menetapkan jarak di antara matahari dan Bumi dengan tepat, sedah tentu kehidupan di Bumi ini lebih sukar kepada kita. Mungkin juga tidak ada kehidupan langsung.
Seperti yang telah kami jelaskan sebelum ini, Allah menjadikan matahari dan bulan selaras untuk membolehkan manusia wujud di planet ini. Di dalam al-Quran, Allah memberitahu kita bahawa matahari dan bulan bergerak dengan arahan Allah: Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaan-Nya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan). (Surah Ar-Ra'd:2) TARIKAN GRAVITI MATAHARI Objek-objek angkasa yang banyak bergerak dalam keadaan teratur tanpa berlanggar antara satu sama lain adalah kerana Allah telah meletakkan mereka pada orbit yang tepat. Satu orbit ialah laluan sebuah planet atau komet yang diikutinya ketika mengelilingi matahari. Tidak ada planet yang berhenti mengikut orbitnya dan keluar ke angkasa lepas. Kerana planet-planet berada di bawah tarikan graviti matahari. Ketika kamu membaca ayat ini, Bumi sedang bergerak pada kelajuan setinggi 108,000 kilometer (70,000 batu) per jam di dalam orbitnya mengelilingi matahari. Perumpamaan berikut mungkin dapat membantu kamu memahami kelajuan ini: kelajuan maksimum sebuah kereta ialah 200 kilometer (125 batu) per jam. Ini bererti kelajuan Bumi bergerak mengelilingi matahari adalah 540 kali lebih laju daripada kelajuan kereta. Contoh lain pula: sebutir peluru bergerak pada kelajuan 1,800 kilometer (1,100 batu) per jam. Kelajuan Bumi bergerak mengelilingi matahari adalah 60 kali lebih laju daripada kelajuan sebutir peluru.
Disebabkan oleh kelajuan tinggi Bumi ini, tarikan graviti matahari amat penting. Jika matahari berkurangan tenaga gravitinya, kita akan melayang keluar ke angkasa lepas bersama dengan Bumi. Ia akan memusnahkan Bumi… Sebaliknya pula, jika matahari mula menggunakan tenaga graviti yang terlalu kuat, Bumi kita akan tertarik kepada matahari dan menjadi cair. Dalam keadaan in juga kita akan musnah. Selain itu, daya tarikan graviti matahari juga memelihara planet-planet di dalam orbit mereka daripada berlanggar antara satu sama lain. Bagaimana pun, tahukah kamu bagaimana matahari menarik planet-planet ini?
Jawapannya amat jelas. Pencipta kita Allah, Yang Maha Kuasa yang telah menjadikan dan memelihara keseimbangan ini. Tambahan pula, bukan matahari sahaja yang mempunyai tarikan graviti. Planet-planet di dalam Sistem Suria ini juga mempunyai kuasa tarikan graviti mereka sendiri. Contohnya, tarikan graviti Bumi menarik bulan ke arahnya. Kerana tarikan graviti ini, bulan berada pada satu jarak. Dengan cara ini, Bumi tidak akan berlanggar dengan bulan. Tidak dapat diragukan lagi, kuasa Allah yang tidak terbatas telah memelihara bulan daripada jatuh ke Bumi. Terdapat tarikan graviti lain yang sama dengan matahari, yang direka khas untuk membolehkan manusia hidup. Iaitu tarikan graviti Bumi yang memberikan kita berat badan. Kuasa graviti ini, yang kita rasai sebagai berat, menahan kita di atas Bumi dan membolehkan kita berjalan dan berlari dengan mudah tanpa melayang ke angkasa.
Bayangkan kamu memegang sebiji bola. Apa terjadi apabila kamu membalikkan tangan kamu? Bukankah bola akan terjatuh? Ini kerana graviti telah menariknya ke tanah. Tetapi, jika kamu melepaskan bola ini ke angkasa lepas, bola tersebut tidak akan jatuh kerana kurangnya kuasa graviti di situ. Oleh itu, kewujudan kuasa graviti yang kuat di Bumi amat penting kepada kita. Terdapat satu lagi fakta penting tentang graviti: Kuasa graviti boleh bertambah atau berkurang daripada kuasanya yang asal. Jika ia berkurangan, kamu akan berjalan di udara dan tidak dapat menyentuh lantai dengan kaki kamu. Kamu tidak dapat bergerak sesuka hati kamu; kamu akan melayang-layang dari satu tempat ke satu tempat, melambung apabila kamu melangkah dan melanggar siling. Begitu juga sekiranya tarikan graviti Bumi terlalu kuat, kamu tidak dapat berjalan kerana kamu akan ditarik ke tanah. Kamu hanya dapat merangkak di atas tanah. Tetapi, ini tidak berlaku kepada kita; Allah menjadikan kuasa graviti yang tepat untuk kita. Mungkin kamu dapat memahaminya dengan lebih baik melalui contoh ini: Bulan, seperti juga Bumi, mempunyai tarikan graviti. Bagaimanapun, tarikan gravitinya lebih rendah daripada Bumi. Oleh itu, tidak mungkin kamu dapat hidup di atas bulan. Di dalam TV, kamu mungkin pernah melihat angkasawan berjalan di atas bulan. Bolehkah kita menghabiskan seluruh hidup kita seperti itu? Sudah tentu tidak. Sekarang mari kita sambung semula perjalanan kita dengan melawat planet-planet di dalam tarikan graviti matahari. PLANET-PLANET Kami telah menjelaskan sebelum ini, planet ialah objek-objek angkasa yang mengelilingi bintang-bintang. Di dalam bahagian ini, kita akan mengkaji planet-planet di dalam Sistem Suria di mana Bumi kita berada. Jika kita anggarkan Sistem Suria ini sebagai sebuah bulatan, matahari berada di tengahnya. Pluto adalah planet yang berada paling jauh daripada pusatnya. Pluto adalah planet paling kecil dan paling jauh daripada matahari. Pemerhatian ke atas planet ini amat sukar, dan teleskop Hubble hanya dapat menunjukkan beberapa maklumat dasar permukaannya. Planet ini sangat sejuk. Suhunya adalah sekitar -238°C. Pada musim sejuk, ketika suhu Bumi jatuh di bawah -2 atau -3°C, ia menjadi beku. -238°C adalah suhu yang 100 kali ganda lebih sejuk daripada suhu yang Bumi dapat terima pada musim sejuk. Kesejukan seperti ini boleh memusnahkan kita. Dari luar, Pluto kelihatan seperti sebiji bola yang diseliputi ais. Menghampiri matahari, kita akan bertemu pula dengan Neptun. Planet ini juga sejuk; suhu permukaannya adalah sekitar -218°C. Atmosferanya mengandungi gas-gas yang beracun kepada manusia. Di samping itu, ribut-ribut menakutkan mencapai 2,000 kilometer (1,250 batu) per jam berlaku di permukaannya. Bergerak sedikit ke arah matahari, di tengah-tengah bulatan, kita bertemu dengan Uranus. Uranus adalah planet ketiga terbesar di dalam Sistem Suria. Suhu atmosferanya ialah -214°C, bererti planet ini cukup sejuk untuk membekukan kita semua dalam masa sesaat. Atmosferanya mengandungi gas-gas beracun yang sama sekali tidak menyokong hidupan. Jika kita meneruskan perjalanan kita ke arah matahari, kita akan bertemu pula dengan Zuhal. Planet ini, yang merupakan planet kedua terbesar di dalam Sistem Suria, dikenali dengan sistem gegelang yang mengelilinginya. Gegelang ini diperbuat daripada gas-gas, batu-batu dan ais. Suhu di planet ini juga tidak sesuai untuk hidupan: -178°C. Apabila kita semakin merapati matahari, kita akan berjumpa dengan Musytari, planet terbesar di dalam Sistem Suria. Musytari adalah 11 kali lebih besar daripada Bumi. Keadaan di planet ini juga tidak sesuai untuk hidup, dan ia terlalu sejuk. Selepas Musytari ialah Marikh. Marikh adalah sebuah planet mati yang tidak sama dengan Bumi. Marikh tidak mempunyai sebarang hidupan. Ini berpunca daripada beberapa sebab: Pertama, atmosfera Marikh adalah campuran beracun mengandungi karbon dioksida pekat. Kedua, tiada air di planet ini. Ketiga, suhu Marikh ialah -53°C. Akhir sekali, terdapat angin kuat dan ribut pasir di Marikh yang berlaku selama berbulan-bulan. Planet biru yang muncul di hadapan kita selepas Marikh ialah Bumi kita. Kami akan memberikan perhatian terhadap planet kita Bumi ini pada bab terakhir nanti. Sementara itu, kami ingatkan kamu satu fakta: Bumi kita adalah satu-satunya planet yang membenarkan organisma hidup. Terus mara ke arah matahari, pencarian kita membawa kita kepada sebuah planet yang dinamakan Zuharah. Zuharah adalah objek angkasa paling terang selepas matahari dan bulan. Oleh itu, manusia telah mengenalinya semenjak berzaman dahulu. Walaupun semua planet sejauh Zuhal telah dikenali manusia sejak dahulu, tetapi Zuharah kelihatan lebih terang dan jelas sama ada di langit waktu pagi atau petang. Tidak seperti planet-planet lain, Zuharah sangat panas. Suhu permukaannya ialah 450°C, yang cukup untuk meleburkan timah. Ciri-ciri lain Zuharah ialah atmosfera beratnya yang terdiri daripada satu lapisan karbon dioksida pekat. Di samping itu, atmosfera Zuharah juga mengandungi lapisan asid beberapa kilometer dalam. Tidak ada organisma yang dapat hidup di tempat seperti ini walau sesaat. Selepas Zuharah, kita sampai pula ke Utarid, planet paling hampir dengan matahari. Putarannya menjadi perlahan oleh kedudukannya yang hampir dengan matahari sehinggakan ia hanya melakukan tiga putaran apabila ia mengelilingi matahari dua kali. Kerana itu satu bahagian planet ini sangat panas sementara sebahagian yang lain pula terlalu sejuk. Perbezaan di antara bahagian siang dan malam di Utarid ini ialah 1,000°C. Sudah tentu keadaan seperti ini tidak menyokong hidupan. Pencarian kita setakat ini telah mendedahkan bahawa selain Bumi, tidak satu pun planet-planet di dalam Sistem Suria ini memberikan apa yang diperlukan untuk hidup. Semuanya tidak berpenghuni dan kosong. Bagaimanapun, dunia kita adalah sebuah planet yang menghasilkan semua keperluan untuk hidup. Dengan hutan hijau dan lautan birunya, ia kelihatan cantik dari angkasa. Angkasawan pertama ke bulan terperanjat dengan warna-warni dan cahaya bumi. OBJEK-OBJEK ANGKASA LAIN Objek-objek angkasa lain di dalam Sistem Suria ini ialah komet, asteroid dan meteor. Ia adalah objek-objek angkasa yang berbaki daripada letupan nebula di mana Sistem Suria terbentuk empat ke enam bilion tahun dahulu.
Perhatikan satu fakta penting di sini: Meteor-meteor yang sampai ke atmosfera selalunya jatuh ke Bumi. Apabila ia jatuh, kerosakan yang dilakukannya adalah berdasarkan kepada saiz mereka. Bumi kita sentiasa terdedah kepada ancaman ini, tetapi Allah telah menjadikan objek-objek angkasa ini sedemikian rupa sehingga ia akan terbakar dan musnah di dalam atmosfera dan dengan itu ia tidak membahayakan kita. Ini menunjukkan rahmat dan kasih Allah kepada kita seperti juga dengan perlindungan yang diberikan-Nya kepada kita. Mungkin sekarang kamu sudah menyedari bahawa Allah mengawal semua objek-objek angkasa, sama ada besar atau kecil, dan mentadbir mereka semua setiap masa di dalam keadaan yang teratur dan tersusun. | |||||||||||||||||||||
0 ulasan:
Post a Comment