Artikel ini ditulis atas rasa kasih sayang yang mendalam terhadap kalian, insan yang pernah kukenal atau tidak pernah kenal tetapi disatukan atas nama ISLAM.
Tersebut alkisah di sebuah negeri jauh di pedalaman yang jarang ditembusi para pendakwah melainkan setahun sekali iaitu pada bulan Ramadan. Seorang mak cik bertanya pada salah seorang ustaz usai tazkirah maghribnya.
''Ustaz, apa hukum memakai tudung?''
Jawab si ustaz dengan penuh yakin,
''Tak Wajib!''
Mak cik tersebut tidak mengalah, diajukan pula soalan kedua.
''Apa pula hukum memakai baju?"
Dengan penuh yakin lagi sekali dan dinyaringkan sedikit suaranya,
''Tak Wajib!''
Mak cik tersebut mula menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil mengerutkan dahinya yang sudah tersedia kedut. Ustaz tersebut mula berdehem dan bersuara.
''Mak cik, dalam Islam, kewajipan menutup aurat Islam tidaklah terlalu rigid dalam menetapkan jenis dan bentuk pakaian yang wajib dipakai tetapi Islam meletakkan beberapa garis panduan agar Islam ini dilihat fleksibel, sesuai sepanjang zaman dan tempat. Kalaulah tudung saji, pembungkus roti , dan plastik Mydin Satu Malaysia boleh digunakan untuk menutup aurat, maka hukumnya Harus digunakan , malah boleh jatuh hukum Wajib dalam keadaan darurat jika hanya 'pakaian-pakaian' tersebut yang boleh digunakan untuk menutup aurat.''
Terkebil-kebil mak cik tersebut mendengar syarahan ustaz tersebut. Masuk kampung setahun sekali, sempat lagi nak beranalogi dan melawak dengan aku, bisik hati kecil mak cik tersebut.
MENUTUP AURAT BUKAN RUKUN IMAN & ISLAM
Membicarakan tentang dalil penutupan aurat bukan menjadi perkara pokok perbincangan kerana saya percaya kita sudah maklum akannya.
Tetapi yang perlu diperjelas dan diperbetulkan adalah kekeliruan dan salah faham yang berlaku dalam tuntutan dan perintah menutup aurat.
Ramai yang berkata, saya sudah menunaikan 5 rukun Islam dan 6 rukun Iman dan menutup aurat tidak pula disebutkan sebagai satu rukun daripadanya.
Jom kita fikir menggunakan akal yang logik. Jika anda hendak membina sebuah rumah untuk didiami adakah memadai dengan hanya memacakkan tiangnya sahaja?
Atau anda mahu mereka bentuk sebuah rumah yang terbaik demi keselesaan anda dan kelurga anda. Tak cukup dengan kipas angin ditambah pula dengan air-cond. Tak cukup dengan TV3, ditambah pula kuali Astro.
Begitulah perumpamaannya dengan tuntutan menutup aurat. Rukun-rukun tersebut merupakan tiangnya. Daripada wujudnya tiang , akan ditambah pula tingkap, tangga dan bilik-bilik.
Jika dilihat dengan lebih dalam lagi, bagaimana ibadah solat dan haji juga menuntut untuk kita menutup aurat sebagai salah satu syarat untuk menyempurnakan ibadah-ibadah tersebut.
Tak rasa pelik dan janggalkah apabila melakukan solat, menunaikan haji dan umrah sahaja kita berpakaian sempurna tapi usai sahaja ibadah tersebut kita menanggalkan pakaian kehormatan yang menutup aurat tersebut.
''MAAF SAYA JAHIL SAYA TIDAK TAHU"
- Ini mungkin jawapan yang akan diberi oleh sesetengah daripada kita. Tetapi tanyalah hati kecil kita. Benarkah dengan kecanggihan teknologi hujung jari dan kemudahan akses internet dikebanyakan tempat kita layak dikategorikan sebagai jahil? -
Hakikatnya kita selalu berdolak dalik dalam memberikan alasan untuk berubah. Mungkin juga takut dikatakan menongkah arus.
Kalaulah kita sedar bermula dengan diri kita sendiri, kemudian menyedarkan kelurga kita, kemudian kita menyedarkan pula sahabat-sahabat taman perumahan kita, kemudian sahabat-sahabat teman sepengajian kita, maka alangkah hebatnya.
Sudah tentu gelombang dan seruan kebaikan tersebut akan makin berkembang dan berkembang sehingga fenomena dan situasi ini tidak lagi dilihat sebagai menongkah arus.
''SAYA LELAKILAH, PEREMPUAN YANG SELALU TAK JAGA AURAT NI''
Walaupun anda LELAKI,
Anda seorang abang, maka tugas dan tanggungjawab menjaga adik-adik perempuan anda..
Anda seorang anak, maka tugas dan tanggungjawab menjaga ibu anda..
Anda seorang suami, maka tugas dan tanggungjawab menjaga isteri anda..
Anda seorang ayah ,maka tugas dan tanggungjawab menjaga anak-anak perempuan anda..
Anda seorang majikan,maka tugas dan tanggungjawab menjaga pekerja-pekerja anda..
Anda seorang ketua negara, maka tugas dan tanggungjawab menjaga rakyat anda..
Dan yang paling PENTING, anda juga seorang individu MUSLIM, maka mulakan dengan menjaga diri anda sendiri. Kelihatan aurat seorang lelaki tidaklah begitu payah dan susah untuk dijaga tetapi sekali sekala terkandas dan terbabas juga apabila keluar bermain futsal dan bermandi manda di sungai.
RAMADAN BULAN TRANSFORMASI
''Semua orang memerhatikan dengan pandangan yang pelik apabila saya mengubah cara pemakaian saya''
Anda tahu kenapa semua orang memerhatikan anda? Ya, kerana anda kelihatan hebat dan elegan sekali kerana cuba untuk berubah.
Ayuh sahabat-sahabat..
Mari kita mulakan langkah pertama kita dibulan Ramadan, bulan transformasi. Moga dengan keberkatan bulan yang penuh mulia ini, DIA akan bantu kita untuk sama-sama berubah menjadi hamba-NYA yang lebih baik!
0 ulasan:
Post a Comment